Tuesday 10 January 2012

Sinopsis Cerpen Tempang

Sinopsis
         Hafizi yang cacat masuk ke dalam Kelas Sains 1 sambil memerhatikan kawan-kawannya yang sedang berbual di luar kelas. Loceng berbunyi menandakan kelas akan bermula. Hafizi duduk di dalam kelas manakala rakan-rakan sekelasnya beratur di hadapan muka pintu kelas kerana dia tidak boleh berdiri lama disebabkan kaki kirinya pendek sebelah. Ketika mata pelajaran Pendidikan Jasmani, kami dan kumpulannya yang benci akan Hafizi telah menempelak Hafizi dan mengejeknya sebagai budak tempang. Raja masuk campur dan menyebelahi Hafizi.
            Cikgu Ridzuan menghampiri mereka apabila terdengar kekecohan yang berlaku lalu meminta mereka masuk ke dalam kelas. Hafizi tidak memberitahu Cikgu Ridzuan bahawa dia diganggu oleh Kamil dan kumpulannya. Kamil menolak Hafizi sebaik-baik Hafizi masuk ke dalam kelas sehingga Hafizi terjatuh tetapi Hafizi tetap bersabar dengan perbuatannya. Melihat Hafizi tersungkur ke lantai, kawan-kawan Kamil ketawa riang. Mei Ling yang tidak takut akan gertakan Kamil masuk campur dan menasihati Kamil supaya tidak menghina Hafizi.
            Cikgu Lee, iaitu guru mata pelajaran Sains memberi motivasi dan kesedaran kepada semua murid tentang rahsia kejayaan seseorang murid yang tidak bergantung kepada darjat, kesempurnaan dan kekayaan, sebaliknya bergantung kepada usaha seseorang murid itu. Cikgu Lee turut memuji Hafizi yang pintar dalam pelajaran walaupun cacat dan tidak boleh bersukan serta bergerak cergas seperti murid-murid yang lain. Pujian itu tidak disenangi oleh Kamil, Cikgu Lee juga memberi peringatan kepada murid-muridnya agar tidak menghina orang lain kerana perbuatan tersebut bertentangan dengan ajaran agama.
            Hafizi yang dijemput oleh Pak Mat, iaitu pemandu keluarganya mengajak Raja pulang bersama dengannya. Menurut Raja, Hafizi tetap bertuah kerana dilahirkan sebagai anak orang berada walaupun dia cacat. Hafizi dan murid-murid Kelas 4 Sains 1 berkelah di suatu tempat, Mereka diawasi oleh Cikgu Lee dan Cikgu Ridzuan. Hafizi hanya memerhatikan kawan-kawannya yang sedang mandi-manda di dalam kolam sebelum dikejutkan dengan jeritan Raja yang meminta tolong kerana Kamil lemas. Tanpa membuang masa, Hafizi terjun ke dalam kolam dan mencapai Kamil di dasar kolam. Dia berjaya menyelamatkan kamil daripada lemas lalu mengheretnya ke tebing kolam. Kamil berjaya diselamatkan setelah Raja memberi pertolongan cemas dengan memberi  bantuan pernafasan dari mulut ke mulut.
            Kamil meminta maaf daripada Hafizi dan menyesali perbuatannya terhadap Hafizi selama ini. Menurut Hafizi, walaupun sering diejek dan dipermain-mainkan oleh Kamil, dia tidak oernah menyimpan dendam atas perbuatannya itu. Pertolongan yang diberikannya kepada Kamil didorong oleh perasaan tanggungjawab untuk menolongnya yang sedang berada dalam kecemasan. Huluran tangan Kamil sebagai tanda meminta maaf dibalas oleh Hafizi dengan menggenggam erat tangan Kamil.

No comments:

Post a Comment